hikayat MERONG MAHAWANGSA? cerite ni wat saye tertarik pun sbb ade ANUAR ZAIN..hehehehe..
btw, meh kite tgk2 pe yg de dlm cite ni eh.. (^_^)
Sinopsis Hikayat Merong Mahawangsa
Hikayat Merong Mahawangsa atau Sejarah Kedah adalah hikayat yang menceritakan susur galur Merong Mahawangsa dan pengasas Kedah, sebuah negeri di Malaysia. Sungguhpun terdapat beberapa fakta sejarah, ia turut mengandungi dakwaan yang mengkagumkan. Era yang dirangkumi oleh teks ini bermula dari pembukaan negeri Kedah oleh Merong Mahawangsa, yang didakwa sebagai keturunan Iskandar Agung dari Macedonia sehingga ketibaan Islam pada abad ke-2 M.
Merong Mahawangsa merupakan penganut Hindu dan terdapat sembilan pemerintah Hindu sebelum Phra Ong Mahawangsa memeluk Islam pada 1136 dan mengambil nama Sultan Mudzafar Shah. Hikayat ini turut menggambarkan serangan Chola ke atas Kedah.
Ringkasan~
Bahagian awal cerita mengemukakan kisah-kisah raja dan pembukaan negeri berdasarkan mitos dan lagenda atau cerita-cerita khayalan yang dipercayai masyarakatnya, sama ada bersifat tempatan, bersifat Hindu ataupun cerita-cerita yang berasal dari pengaruh Islam. Dalam bahagian inilah hikayat ini menyatakan yang menjadi nenek moyang raja-raja Kedah ialah Raja Merong Mahawangsa, seorang raja yang bukan sahaja mempunyai ikatan kekeluargaan dengan Raja Rom tetapi juga menjadi pembesar kepercayaannya.
Angkatan Raja Merong Mahawangsa yang sedang belayar dari Rom ke negeri China telah diserang oleh geroda. Ia membuka negeri Langkasuka dan diangkat menjadi raja. Ia pulang ke Rom setelah menabalkan puteranya Raja Merong Mahapudisat menjadi raja. Langkasuka ditukar namanya ke Kedah Zamin Turan.
Berpandukan nasihat yang diberikan oleh ayahandanya, Raja Merong Mahapudisat merajakan putera sulungnya menjadi Raja Siam, putera tengah, Raja Ganjil Sarjuna dari Kedah ditabal sebagai Raja Perak dan anakandanya yang ketiga, seorang puteri, sebagai Raja Patani. Putera yang bongsu menggantikan ayahanda mereka sebagai Raja Kedah dengan gelaran Raja Seri Mahawangsa. Raja inilah yang memulakan tradisi menghantar persembahan bunga mas dan bunga perak sebagai hadiah kepada kekandanya, Raja Siam, setiap kali kekandanya mendapat putera.
Raja Seri Mahawangsa mangkat setelah kecewa dengan puteranya yang tidak menurut perintah dan digantikan oleh putera itu dengan gelaran Raja Seri Maha Inderawangsa. Seterusnya putera Raja Seri Maha Inderawangsa menjadi raja dengan gelaran Raja Ong Maha Perita Deria yang lebih terkenal dalam sejarah negeri Kedah sebagai Raja Bersiong. Apabila Raja Bersiong turun dari takhta setelah ditentang kerana kezalimannya, puteranya ditabalkan sebagai Raja Phra Ong Mahapudisat. Raja ini digantikan oleh puteranya, Raja Phra Ong Mahawangsa yang kemudiannya menjadi raja Kedah yang pertama memeluk agama Islam. Syeikh Abdullah Yamani menukarkan namanya kepada Sultan Mudzafar Shah.
Salinan~
Tiada siapa yang tahu bila Hikayat Merong Mahawangsa pertama kali dikarang. Pembayang utamanya mungkin terletak dalam mukadimahnya yang berbunyi: "Adalah pada suatu masa zaman Sultan Muazzam Shah ibnu Sultan Muzalfal Shah yang maha mulia kerajaan negeri Kedah, pada suatu hari baginda keluar ke penghadapan, …" Sultan Muazzam Shah sebenarnya memerintah dari tahun 1179–1201. R.O. Winstedt mula-mulanya mengusulkan tahun 1612 sebagai tahun asalnya, namun beberapa sejarawan Kedah meragui anggapan ini kerana sastera Melayu belum berkembang ketika itu. Nampaknya ramai sejarawan berpendapat bahawa manuskrip asli Hikayat ini ditulis pada abad ke-19, apatah lagi sekitar tahun 1821, berasaskan peristiwa pembakaran salinan buku Hikayat ini atas perintah kerajaan Siam pada tahun itu.[1] Ketika itu, negeri Kedah menjadi negeri ufti Siam, oleh itu kerajaan Siam membenci mana-mana tindakan yang kelihatan mencabar kewibawaannya baik dalam negara sendiri mahupun negeri-negeri uftinya.[1]
Catatan pusaka Hikayat Merong Mahawangsa masih disimpan dalam beberapa salinan manuskrip yang diterbitkan pada zaman pendudukan Barat di Nusantara sekitar abad ke-19 dan awal abad ke-20 sebagai panduan. Antaranya:[1]
- Hikayat Merong Mahawangsa versi Ms. Maxwell 21 yang merupakan koleksi pertama milik W. Maxwell. Naskhah ini ditulis sepanjang 149 halaman tanpa nombor di setiap halamannya, dan telah diserahkan ke Perpustakaan Royal Asiatic Society, London. Di dalamnya terdapat tanda tangan Maxwell dan catatan Singapore, 1884 M.
- Hikayat Merong Mahawangsa versi Ms. Maxwell 16 oleh W. Maxwell. Naskhah ini tersimpan di Perpustakaan Royal Asiatic Society, London. Naskhah ini disalin oleh Muhammad Nuruddin bin Ahmad Rajti pada 2 September 1889 M di Pulau Pinang dengan panjang 207 halaman.
- Sjadjarah Negeri Kedah atau Hikayat Merong Mahawangsa, yang dikenali sebagai versi von de Wall, No. 201. Naskhah salinan ini ditemukan oleh von de Wal ketika ia di Riau.
- Hikayat Merong Mahawangsa atau Sejarah Negeri Kedah. Naskhah ini ditulis di Kampung Sungai Kallang, Singapura. Di dalamnya tercatat tahun 1876 M. Salinan manuskrip ini disimpan di Perpustakaan Bodleian, Universiti Oxford, England.
- Hikayat Merong Mahawangsa versi R.J. Wilkinson, dicetak batu dalam tulisan Jawi berukuran fulskap oleh Kim Sik Hian Press, No. 78, Penang Street. Versi ini disalin pada 16 November 1898 oleh Muhammad Yusuf bin Nasruddin di Pulau Pinang.
- Hikayat Merong Mahawangsa versi Sturrock yang diterbitkan dalam Journal of The Royal Asiatic Society, Straits Branch (JRASSB) No. 72, Mei 1916 M di halaman 37-123, yang dicetak menggunakan tulisan Rumi (tulisan romawi).
- Hikayat Merong Mahawangsa versi Logan yang merupakan koleksi J.R Logan, kini tersimpan di Perpustakaan Nasional Singapura dengan nombor arkib qMR 8999, 2302 HR.
Hikayat Merong Mahawangsa turut dirakam dalam bentuk ulasan historiografi oleh Siti Hawa Haji Salleh, terbitan Universiti Malaya pada tahun 1991.[2] Buku ulasan ini memetik ceritanya dari tiga manuskrip, iaitu Maxwell 16, Maxwell 21, dan Von de Wall 201.[3]
Senarai raja mengikut Hikayat Merong Mahawangsa~
Menurut Hikayat Merong Mahawangsa, terdapat 8 orang Raja yang berkuasa di Langkasuka yang juga pengasas kepada kerajaan Kedah Tua bermula disekitar Lembah Bujang. Diantara mereka juga merupakan pengasas kepada Kerajaan Siam, Gangga Negara dan negeri Patani, Selatan Siam (Thailand). Berkut adalah penama-penamanya:
- Merong Mahawangsa (berasal dari Rom kemudiaan belayar ke China. Dalam pelayarannya ke China, baginda telah diserang oleh garuda. Lalu bersinggah ke wilayah Lembah Bujang, Langkasuka (Kedah Tua) bagi membuka penempatan baru). Baginda berketurunan Kaisar Romawi Iskandar Agung dari Macedonia. Merong Mahawangsa ialah seorang Raja beragama Hindu.
- Raja Merong Mahapudisat, putera sulong Merong Mahawangsa. Beragama Hindu. Baginda ditabalkan di Rom sebagai Raja Siam. Langkasuka ditukar nama sebagai "Kedah Zamin Turan". Baginda menjadi Raja Siam pertama.
- Raja Ganjil Sarjuna dari Kedah, putera kedua Merong Mahawangsa. Beragama Hindu. Ditabal Raja dan pengasas bagi Kerajaan Gangga Negara.
- Raja Puteri, merupakan anak ketiga Merong Mahawangsa. Juga merupakan seorang Puteri, beragama Hindu. Ditabal sebagai Raja Patani pertama.
- Raja Seri Mahawangsa, petera bongsu Merong Mahawangsa. Beragama Hindu. Menggantikan ayahdanya Merong Mahawangsa sebagai Raja Kedah. Raja inilah yang memulakan tradisi menghantar persembahan ufti bunga mas dan bunga perak sebagai hadiah kepada kekandanya sulongnya, Raja Siam, setiap kali kekandanya mendapat putera. Mempunyai seorang putera yang degil yang bernama Raja Seri Maha Inderawangsa.
- Raja Seri Maha Inderawangsa merupakan putera kepada Raja Seri Mahawangsa. Beragama Hindu. Merupakan Raja yang degil dan zalim. Memakai gelaran Raja Ong Maha Perita Deria. Bagi rakyat jelata, baginda lebih sinonim dengan panggilan Raja Bersiong kerana suka memakan darah manusia. Lari kedalam hutan Gunung Jerai dan mangkat disana selepas di serang oleh angkatan tentera menterinya. Meninggalkan seorang putera yang bernama Raja Phra Ong Mahapudisat.
- Raja Phra Ong Mahapudisat merupakan putera kepada Raja Seri Maha Inderawangsa (Raja Bersiong). Raja Phra Ong Mahapudisat merupakan Raja beragama Hindu. Mempunyai seorang putera bernama Raja Phra Ong Mahawangsa.
- Raja Phra Ong Mahawangsa merupakan putera kepada Raja Phra Ong Mahapudisat. Asalnya beragama Hindu, kemudian memeluk agama Islam. Menukar nama sebagai Sultan Mudzafar Shah (Dipercayai sebagai Sultan pertama Kedah dan tertua didunia bermula tahun 1136). DiIslamkan oleh Syeikh Abdullah Yamani.
Adaptasi~
Hikayat Merong Mahawangsa telah diadaptasi menjadi lakonan pentas yang pernah dipentaskan di Istana Budaya. Persembahan yang berjudul Hikayat Merong Mahawangsa: A Swashbuckling Epic Adventure yang berbahasa Inggeris ini dipersembahkan oleh Ribbit Edutainment dan disasarkan untuk tontonan seisi keluarga. Pementasan pertamanya berlangsung pada 14 hingga 17 Mei 2009.[4]
Selain itu, Hikayat ini juga diadaptasi menjadi filem cetera terbitan KRU Studios yang dijadualkan keluar pada tahun 2010 untuk tontonan pasaran antarabangsa. Filem Hikayat Merong Mahawangsa ini dibintangi oleh Stephen Rahman Hughes sebagai Merong Mahawangsa[5], dan dilaporkan berdialog 70% bahasa Inggeris dan selebihnya dalam bahasa Melayu klasik.[6]
No comments:
Post a Comment